AMPANG – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil perhatian yang serius terhadap setiap aduan yang diutarakan penduduk setempat bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PBT merupakan wajah hadapan yang mencerminkan imej kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Menurutnya, rakyat yang marah terhadap kelemahan perkhidmatan masih menunjukkan keprihatinan, namun apabila tahap kepercayaan hilang, ia akan menjejaskan imej dan fungsi agensi kerajaan secara keseluruhan.
“Kalau rakyat marah, itu tandanya mereka masih peduli. Tapi kalau mereka dah meluat, semua benda jadi bahan jenaka.
“Kalau mereka dah tak percaya, mereka mula boikot. Cukai tak nak bayar, saman tak peduli. Semua berpunca daripada satu aduan yang tidak dilayan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025, di sini hari ini.
Amirudin dalam pada itu menekankan pentingnya jaringan kerjasama antara Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan PBT untuk menangani isu masyarakat secara proaktif.
“Daripada isu sampah tidak dikutip, jalan berlubang, anjing liar, hinggalah kepada risiko tanah runtuh, semuanya menuntut maklum balas segera dan berkesan dari pihak berkuasa.
“Kalau nampak salah, tegur. Jangan diam. Sikap ini akan bantu kita bina kepercayaan dan hormat masyarakat kepada institusi,” tegas beliau- KOSMO! ONLINE.