PETALING JAYA – Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di sekitar ibu negara hari ini berjalan dalam keadaan aman dan terkawal, tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai 3,000 pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta pelbagai jabatan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah ditugaskan untuk melaksanakan pemantauan keselamatan dan kawalan lalu lintas di semua laluan yang terlibat.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, perhimpunan dianggarkan dihadiri kira-kira 18,000 peserta.
“Keseluruhan perhimpunan berlangsung secara aman dan terkawal. Tiada sebarang tangkapan dilakukan, dan semua elemen kawalan dilaksanakan secara profesional serta beretika,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata, perhimpunan yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu menyaksikan peserta mula berkumpul secara berperingkat di beberapa lokasi tumpuan termasuk Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.
Perarakan menuju ke Dataran Merdeka bermula sekitar pukul 2.00 petang dengan kehadiran beberapa tokoh politik serta wakil pertubuhan yang turut menyampaikan ucapan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal komited dalam memastikan keselamatan negara dan hak rakyat sentiasa terpelihara selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE