fbpx
MOHAMMAD NIZAR (duduk, kiri) semasa mendengar taklimat daripada PLUS di Ipoh hari ini.

Taburan hujan melebihi biasa, hakisan tanah di Terowong Menora terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Hakisan tanah yang berlaku berhampiran Terowong Menora di Kilometer 263.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada Jumaat lalu berpunca daripada taburan hujan melebihi biasa menyebabkan berlakunya pergerakan tanah punca hakisan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, hakisan tanah itu berpunca kerana taburan hujan yang melebihi biasa, mendorong pergerakan tanah, batu dan pokok.

“Kalau kita lihat (taburan hujan) 65 milimeter (mm) berbanding biasa lebih kurang 40mm. Hujan lebat menyebabkan ketahanan pokok agak lemah.

“Pokok daripada 35 meter daripada atas jatuh ke bawah disebabkan berlakunya pergerakan tanah kerana hujan lebat semasa itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau terlibat dalam sesi taklimat berhubung kejadian tersebut daripada pihak berkepentingan seperti Plus Malaysia Berhad (PLUS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mohammad Nizar memaklumkan pelbagai langkah jangka masa pendek dan panjang telah dirancang sebagai intervensi seperti penggunaan dron, rondaan secara kerap dan mengukuhkan struktur kawasan lain yang terjejas.

Jelasnya, selain itu, pemantauan kawasan lain yang berisiko melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) secara 24 jam, papan tanda amaran yang sesuai serta penggunaan satelit untuk memantau pergerakan tanah dan batu secara tepat.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh termasuk penggunaan dron bagi meneliti bahagian atas cerun yang berada di luar kawasan lebuh raya mengesahkan bahawa integriti struktur keseluruhan cerun batuan kekal stabil dan tidak terjejas.

“Kerja pemasangan kabel serta jaring penahan batu sebagai perlindungan tambahan di lokasi kejadian sedang giat dilakukan ,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, berlaku hakisan tanah kira-kira pukul 4.30 petang Jumaat minggu lalu di situ kerana hujan lebat yang melibatkan sebahagian kawasan cerun berhampiran lorong kiri lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN