PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan termasuk polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang bertugas memastikan keselamatan dan kelancaran acara himpunan di ibu negara hari ini.
Beliau menyanjung tinggi ketangkasan, disiplin dan dedikasi pasukan yang menjaga ketenteraman awam dengan penuh profesionalisme.
“Saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas yang bertugas hari ini. Kalian benteng utama negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kepada para peserta yang hadir menyuarakan pandangan dan solidariti, beliau turut mengucapkan selamat pulang ke destinasi masing-masing, mendoakan perjalanan mereka dipermudah dan dilindungi.
Dalam nada penuh prinsip dan keyakinan, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau kekal konsisten mempertahankan hak kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan dalam semangat demokrasi.
“Kritikan dan perbezaan pandangan tidak harus dilihat sebagai permusuhan, malah harus disuburkan agar menjadi nadi negara bangsa yang matang dan berdaulat,” ujarnya.
Beliau turut mengangkat Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen sebagai bukti keterbukaan kerajaan semasa, di mana Ahli Parlimen bebas bertanya soalan dan mengangkat isu secara terus kepada Perdana Menteri.
“Saya mohon rakyat terus desak wakil rakyat untuk hadir aktif ke Parlimen, khususnya sesi PMQT. Di situlah medan sebenar demokrasi berfungsi,” tegasnya.
Anwar turut menyeru rakyat untuk terus berdialog, bukan sekadar di jalanan, tetapi di pelbagai lapangan dan medan ilmu agar Malaysia terus maju dengan bertenaga dan bersatu.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau mengajak orang ramai untuk kembali ke ibu negara dan meneroka semula mercu bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad yang kini dalam fasa pemuliharaan.
“Kuala Lumpur adalah kota harapan, kota sejarah dan kota cita-cita nasional. Ayuh kita bangunkan bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE