fbpx
Asyraf Wajdi (kanan) berswafoto bersama sebahagian ahli UMNO selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Jenagor, Hulu Terengganu hari ini.

Buli MRSM Melaka: Rayuan pelajar tingkatan lima tidak dilayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Seramai enam pelajar tingkatan lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka dikenakan tindakan buang sekolah setelah didapati terlibat insiden buli pada 18 Julai lalu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tersebut diambil selepas Jawatankuasa Disiplin MRSM selesai bersidang dan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

“Saya terima banyak makluman daripada pengikut di laman sosial berhubung kejadian (buli) tersebut sejak Sabtu minggu lalu.

“Saya mengarahkan pihak pengurusan mengemukakan laporan segera dan jawatankuasa disiplin yang sudah bersidang mengesahkan ia (perbuatan buli) berlaku,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, tindakan tegas membuang sekolah kesemua pelajar terlibat diambil serta-merta biarpun mereka berada di dalam tingkatan lima dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Beliau menegaskan, pihak pengurusan Mara tidak melayan sebarang rayuan sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajar lain.

“Tiada kompromi terhadap sebarang perbuatan buli atas apa jua alasan,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, program perintis warden asrama MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut dalam kalangan bekas tentera dan polis dalam proses temuduga.

Beliau berkata, tiga warden masing-masing lelaki dan wanita akan dilantik di setiap MRSM berkenaan bermula bulan depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI