fbpx
GUNUNG Bubu yang terletak di Gerik, Perak merupakan antara gunung sederhana tinggi yang popular kalangan pendaki tempatan.

Terkejut trek berubah dramatik di Gunung Bubu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDAKI gunung sememangnya memerlukan ketahanan fizikal dan mental, lebih-lebih lagi apabila trek yang dilalui tidak seperti yang dijangka. 

Itulah yang dialami oleh Mohd. Fazlilah Abdul Rahman, 32, yang baru-baru ini menawan Gunung Bubu di Gerik, Perak bersama tiga orang rakannya. Mereka memutuskan untuk mengikuti satu open trip berjumlah 14 orang.

Fazlilah dan tiga rakannya itu bertolak dari Kuala Lumpur sekitar pukul 8 malam dan tiba di Gerik kira-kira pukul 12 tengah malam. 

Tanpa sempat tidur panjang, kumpulan itu memulakan pendakian pada pukul 3 pagi dalam keadaan gelap dan berkabus tebal.

Berkongsi dengan CitaRasa, dia yang mesra disapa Fazlilah itu berkata, mereka memulakan pendakian sebelum tiba di puncak gunung pada pukul 5 pagi.

“Selepas tiba di puncak, kami sempat berehat sekejap sambil menanti waktu subuh,” katanya yang merupakan anak kelahiran Klang, Selangor.

Mengimbau kembali, perjalanan ke puncak bukanlah semudah yang disangka. Menurut Fazlilah, laluan ke Gunung Bubu pada awalnya agak santai, tetapi berubah drastik selepas beberapa kilometer.

“Bagi saya, cabaran yang saya lalui sepanjang pendakian adalah perubahan laluan trek yang sememangnya di luar jangka.

FAZLILAH (kiri) bersama rakan-rakan yang mengikuti pendakian.

“Tiba-tiba trek jadi sangat mencanak. Tak sangka langsung sebab awal-awal tadi macam mudah sahaja,” ujarnya.

Fazlilah bahkan menyifatkan ia barangkali trek paling sukar pernah dilaluinya, sehingga menjadikan dia keletihan.

“Sebelum ini, saya pernah mendaki Gunung Irau yang terletak di Cameron Highlands. Memandangkan cuacanya sejuk dan dingin, rasa lelah itu tidak begitu ketara.

“Berbeza dengan pengalaman mendaki Gunung Bubu ini yang kurang berangin, makanya barangkali kami letih dan kepenatan kerana faktor kurang oksigen saat mendaki,” kongsinya.

Ketinggian Gunung Bubu sekitar 1,657 meter dari paras laut, menjadikan ia antara gunung sederhana tinggi yang popular kalangan pendaki tempatan. 

Namun, cabaran fizikal tetap terasa, terutamanya apabila melibatkan laluan trek yang sedikit berbeza.

Selepas menikmati panorama dan menyelesaikan solat subuh, mereka kemudian memasak bersama-sama dan menikmati sarapan sebelum memulakan perjalanan untuk turun semula ke bawah.

Walaupun berjaya menghabiskan pendakian tanpa sebarang kecederaan, Fazlilah mengakui dia tidak bercadang untuk kembali ke Gunung Bubu lagi.

KETINGGIAN Gunung Bubu sekitar 1,657 meter dari paras laut, menjadikan ia antara gunung sederhana tinggi yang popular kalangan pendaki tempatan.

“Saya memang tak suka ulang tempat sama. Tidak kiralah pendakian itu mudah atau pun sukar, namun saya secara peribadi lebih memilih untuk meneroka pendakian di tempat lain pula, untuk menikmati suasana yang berbeza.

“Ini kerana setiap tempat itu menyajikan pemandangan yang berbeza-beza,” katanya.

Bagi Fazlilah, setiap pendakian adalah satu pengalaman baharu yang membuka ruang untuk lebih mengenali diri dan kekuatan fizikal sendiri. 

Walaupun Gunung Bubu bukanlah destinasi pilihannya untuk pendakian seterusnya, pengalaman itu akan terus menjadi satu memori berharga dalam diari kembara hidupnya.

Mengungkap tentang minatnya terhadap pendakian, Fazlilah memberitahu ia bermula pada 2018. 

Bagi Fazlilah, pemandangan yang mendamaikan saat menuju ke puncak gunung adalah sesuatu yang perlu dirasai sendiri, memandangkan ia bukan sesuatu yang boleh dirakam dengan kamera.

“Ramai cakap view di atas cantik, bagi saya apa yang lebih menarik adalah pengalaman untuk sampai ke puncak itu adalah lebih dihargai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN