STAVELOT, Belgium – Max Verstappen menegaskan pemecatan Christian Horner sebagai Prinsipal Red Bull tidak akan menjejaskan keputusan mengenai masa depannya bersama pasukan itu.
Juara dunia empat kali itu berkata, fokus utamanya kekal kepada prestasi jentera, meskipun Horner digantikan oleh bekas ketua pasukan Racing Bulls, Laurent Mekies.
“Saya rasa ia langsung tak beri kesan terhadap keputusan saya pada masa depan. Apa yang penting ialah kami terus meningkatkan prestasi kereta dan jadikan ia sepantas mungkin,” kata Verstappen.
Verstappen, 27, yang masih terikat kontrak hingga 2028 dan turut memberi bayangan bahawa beliau akan kekal bersama Red Bull, walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes.
Difahamkan, Verstappen mempunyai klausa pelepasan awal yang membolehkannya menyertai mana-mana pasukan sekiranya jentera Red Bull tidak mampu membawa kejayaan.
Verstappen ketika ini teruja dengan perancangan Mekies dan berharap Red Bull akan kembali mengganas menjadi pencabar kemenangan.
“Pengurusan buat keputusan untuk mengubah haluan pasukan dan kami sebagai pelumba perlu teruskan tugas. Saya juga sudah beberapa kali bermesyuarat dengan Laurent dan teruja melihat hala tuju baharu pasukan ini,” ujarnya.
Red Bull kini bergelut dalam musim 2025 dengan Verstappen hanya menang dua daripada 12 perlumbaan dan berada di tempat ketiga kejuaraan dunia.
Verstappen juga ketinggalan 69 mata di belakang Oscar Piastri (McLaren) dan Red Bull pula menduduki tempat keempat dalam kedudukan pengeluar, di belakang McLaren, Ferrari serta Mercedes. – AGENSI