fbpx
JUN HAO hanya mampu melangkah ke suku akhir sekali daripada 11 kejohanan disertainya musim ini.

Prestasi Jun Hao makin meresahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSI longlai di set kedua meranapkan harapan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China apabila tewas kepada Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Meskipun memberi tentangan sengit di set pertama, namun Jun Hao gagal menyekat kemaraan pemain No. 1 dunia itu yang mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-7 hanya dalam tempoh 48 minit.

Turun sebagai pemain bukan pilihan pada perlawanan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou semalam, Jun Hao dilihat cukup tenang sepanjang set pertama, namun gagal meneruskan momentum di set berikutnya.

Jun Hao tanpa berselindung mengakui, kegagalan memenangi set pertama meskipun sudah mendahului 19-17 sedikit sebanyak mengganggu rentak permainannya sehingga tewas mudah di set kedua.

“Pada set pertama, saya cuba bermain agresif bagi mendapat mata dan berjaya mendahului 19-17 tetapi gagal dapatkan (kemenangan). Mungkin dari situ ia mengganggu momentum permainan.

“Memasuki set kedua, memang saya bukan pemain yang lebih baik. Oleh itu, saya hanya cuba berikan yang terbaik tetapi tiada rezeki,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Jun Hao kini sudah mencatat tiga kekalahan berturut-turut kepada Kunlavut apabila turut tewas dalam dua pertemuan terdahulu pada Terbuka Singapura, Mei lalu dan Terbuka Thailand (2024).

“Sekali lagi saya tidak menggunakan peluang sebaiknya ketika mendahului 19-17. Ketika itu mungkin saya lebih banyak bertahan walaupun sedang mendahului perlawanan,” ujar bekas juara remaja Asia itu.

Ini juga kali ketiga berturut-turut Jun Hao tewas di pusingan awal selepas turut mengalami nasib sama pada Terbuka Jepun (pusingan pertama) dan Terbuka Indonesia (pusingan kedua).

Sepanjang 11 kejohanan disertai musim ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hanya sekali melepasi pusingan awal apabila mara ke suku akhir pada Terbuka Singapura.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan buat kem badminton negara yang kini menaruh harapan kepada Jun Hao tanpa kehadiran jaguh perseorangan profesional, Lee Zii Jia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI