KLUANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap sembilan ekor gajah liar di daerah ini menerusi Operasi Bersepadu Translokasi Gajah sejak 14 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, lapan gajah ditangkap di kawasan hutan sekitar Kampung Seri Lukut dan Kampung Pinggir, Kahang manakala seekor lagi di Kampung Pinggir.
“Setiap ekor gajah ini membawa bersama-sama amanah besar yang perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 14 Julai lalu, Perhilitan Johor memaklumkan akan melaksana operasi tersebut secara besar-besaran membabitkan 25 gajah bermula bulan ini hingga Julai tahun depan.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah strategik itu bagi menangani isu konflik gajah dan manusia secara menyeluruh dan berkesan, dengan Johor menjadi negeri pertama lokasi operasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














