KUALA LUMPUR – Penggunaan media sosial oleh warga pendidik perlu selari dengan prinsip Etika Keguruan dalam Standard Guru Malaysia 2.0.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi menyokong penggunaan media sosial secara beretika dalam kalangan guru, pihaknya telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 4 Oktober 2023.
Beliau berkata, KPM juga telah mengedarkan Peringatan Kepada Warga Guru Berhubung Pengukuhan Profesionalisme Guru Melalui Etika Berpakaian dan Penggunaan Media Sosial bertarikh 30 Mei 2025.
“KPM tiada halangan untuk guru memanfaatkan media sosial untuk tujuan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pendidikan terutamanya yang berkaitan PdP.
“Walau bagaimanapun, penggunaan media sosial ini hendaklah selaras dengan surat pekeliling dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berkenaan kesan jangka panjang terhadap imej profesion pendidikan apabila semakin ramai guru menjadikan media sosial sebagai pentas populariti dengan gaya keterlaluan sehingga mengaburi peranan asas mereka sebagai pendidik yang dihormati.
Sementara itu Fadhlina berkata, sebagai usaha suri teladan penggunaan media sosial yang beretika, KPM juga turut mempunyai pempengaruh didik (Edufluencers).
“Kumpulan ini aktif berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka melalui media sosial. Mereka berkongsi amalan terbaik untuk menyampaikan mesej secara berkesan sama ada dalam talian atau luar talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE