KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempergiatkan pemantauan di sekitar Taman Metropolitan Kepong susulan insiden tali layang-layang yang terkena seorang penunggang motosikal baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi DBKL, tindakan itu diambil bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara, khususnya di kawasan rekreasi yang berhampiran dengan laluan trafik.
“DBKL juga telah meletakkan papan tanda amaran keselamatan di sekitar kawasan taman bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, orang ramai diseru sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan semasa menjalankan aktiviti riadah, termasuk aktiviti bermain layang-layang, khususnya di kawasan berhampiran jalan raya atau laluan trafik.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal cedera selepas terkena tali layang-layang yang merentang di tengah jalan ketika melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Tasik Metropolitan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 27 tahun sedang menunggang motosikal dari arah Batu Caves menghala ke Sri Damansara pada pukul 6 petang. – KOSMO! ONLINE