LONDON – Pemain sayap lincah, Jadon Sancho dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan ke Juventus selepas bersetuju mengurangkan separuh gajinya demi meninggalkan Manchester United musim panas ini.
Menurut laporan The Mirror, Sancho bakal menyertai gergasi Serie A itu menerusi perjanjian bernilai sekitar £21.6 juta (RM122.85 juta) termasuk tambahan bersyarat dan bayaran pemberhentian kontrak.
Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini digugurkan daripada skuad utama oleh pengurus United, Ruben Amorim selepas hubungan tegang bersama barisan kejurulatihan terdahulu gagal diperbaiki.
“Manchester United hampir menyelesaikan rundingan dengan Juventus mengenai penjualan Sancho. United terdesak untuk menjual Sancho yang telah ditendang keluar dari latihan pasukan utama dan hampir mencapai hasrat mereka.
“Pemain sayap itu kelihatan bersedia untuk menyertai Chelsea pada penghujung musim selepas menghabiskan kempen secara pinjaman dengan The Blues, namun tidak menjadi dan kini Juventus dilihat berpotensi menjadi destinasi baharu,” menurut laporan itu.
Difahamkan, Juventus pada awalnya menawarkan €17 juta (RM84.03 juta), namun bersetuju menaikkan jumlah itu kepada €25 juta (RM123.57 juta) selepas menerima tekanan daripada United yang mahu menyegerakan perpindahan.
Sancho yang pernah dikaitkan dengan Chelsea selepas dipinjamkan ke kelab itu musim lalu, kini memilih untuk membuka lembaran baharu di Turin bagi menghidupkan semula kariernya selepas dua musim mengecewakan di Old Trafford.
Sebagai rekod, Sanco yang menerima gaji mingguan berjumlah £250,000 (RM1.42 juta) di United, turut menarik minat Nottingham Forest jika perpindahannya ke Juventus gagal menjadi kenyataan. – AGENSI