SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor menafikan Disclaimer yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan bermaksud keseluruhan modul atau aktiviti program eHati dibenarkan pihaknya.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ini kerana syarikat tersebut tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkaitan kepada JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh Panel tersebut sehingga ke hari ini.
Katanya, Panel telah diserahkan dengan video yang digunakan oleh penganjur yang mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita untuk tujuan merapatkan hubungan antara suami isteri dalam sesi sesi penjelasan yang diadakan itu.
“Justeru, Panel Sesi Penjelasan telah memberi pandangan bahawa beberapa aspek dan pendekatan program eHati perlulah dipinda atau dibuang mengikut mana-mana yang bercanggah dengan hukum syarak.
“Pihak syarikat juga hendaklah sentiasa merujuk pihak berautoriti agama atau pakar dalam memastikan pematuhan hukum syarak dalam keseluruhan program eHati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pengasas bersama eHati, Diyana Tahir dan Rahim Shukor dalam satu kenyataan memaklumkan JAIS telah pun memahami dan menerima penjelasan yang dikemukakan dan seterusnya memaklumkan bahawa program eHati boleh diteruskan dengan dinasihatkan JAIS untuk menyertakan satu Disclaimer kepada para peserta.
Kata Mohd. Shahzihan, penganjur diminta meletakkan Disclaimer yang menyatakan bahawa video tersebut (merujuk kepada video yang telah diarahkan untuk dipinda oleh Panel Sesi Penjelasan) adalah untuk kegunaan suami isteri sahaja.
Tegasnya, nasihat itu diberikan kepada penganjur sebagai langkah untuk mengekang apa-apa tindakan yang melanggar hukum syarak dalam rakaman video yang digunakan.
“JAIS yakin insiden yang didakwa berlaku dalam program eHATI di IDCC tersebut tidak akan terjadi sekiranya syarikat tersebut mematuhi ketetapan yang dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan pada tahun 2022,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS juga telah diminta untuk menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penganjuran Program Keagamaan dan Kerohanian Islam dengan mengambil kira pelbagai insiden termasuk program eHati.
“Penambahbaikan itu agar suatu garis panduan yang lebih komprehensif dapat dijadikan rujukan oleh penganjur yang berhasrat untuk mengadakan program mengandungi unsur kerohanian dan keagamaan di Selangor,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan siasatan terhadap program eHATI tersebut akan dilakukan atas kesalahan doktrin palsu.
Ia dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Terdahulu, enam suspek termasuk pengasas eHATI, suami dan anaknya berusia 26 hingga 47 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selepas lanjutan reman mereka ditolak Mahkamah Majistret Shah Alam.
Polis sebelum ini mengesahkan berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran yang berlangsung di IDCC pada September tahun lalu.
Setakat ini, seramai 90 individu telah direkodkan keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 294 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. – KOSMO! ONLINE