fbpx
PENUNGGANG motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas melanggar seekor anjing di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Pondok Polis Paya Bungor semalam.

Wanita maut motosikal langgar anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas selepas melanggar seekor anjing melintas jalan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Pondok Polis Paya Bungor di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, mangsa Che Zaiton Ahmad,54, menunggang motosikal dengan membonceng rakannya dalam perjalanan dari arah Temerloh ke arah Felda Lepar Hilir.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal dinaiki mangsa dipercayai melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan.

“Akibat kejadian penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat polis Daerah Kuantan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya di kawasan kurang pencahayaan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI