GAZA – Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk Palestin yang keluar untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza semalam, menyebabkan lebih 93 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera.
Seramai 80 orang terbunuh ketika konvoi lori bantuan tiba di utara Gaza, manakala sembilan yang lain ditembak berhampiran pusat agihan bantuan dekat Rafah di mana berpuluh-puluh orang hilang nyawa hanya 24 jam sebelumnya.
“Empat mangsa terbunuh berhampiran lokasi pengagihan bantuan lain di Khan Younis, juga di selatan Gaza,” kata jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Basal kepada AFP.
Program Makanan Sedunia PBB berkata, konvoi 25 lorinya yang membawa bantuan makanan ‘melihat orang ramai yang kelaparan ditembak’ berhampiran Bandar Gaza, tidak lama selepas konvoi berkenaan menyeberang masuk selepas melintasi pusat pemeriksaan di Israel.
Kematian orang awam yang keluar mencari bantuan kerap berlaku di Gaza dengan pihak berkuasa Palestin menyalahkan tembakan Israel.
PBB berkata awal bulan ini bahawa lebih 800 penduduk Gaza yang keluar untuk mendapatkan bantuan makanan dibunuh sejak akhir Mei lalu termasuk di laluan konvoi bantuan. – AFP