fbpx
Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga JPM bagi Bulan Julai 2025 di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Anwar nafi nama Ketua Hakim Negara ditukar saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan nama Ketua Hakim Negara telah dikemukakan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim lebih awal dan bukannya ditukar pada saat-saat akhir sebelum diumumkan.

Perdana Menteri berkata, kekeliruan dan dakwaan kononnya berlaku pertukaran nama calon terakhir hanyalah satu tohmahan tidak berasas.

Katanya, ia sengaja dipolitikkan oleh segelintir pihak bagi mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Sistem (kehakiman) itu dikatakan telah dirosakkan. Ada yang sengaja mahu mempolitikkan isu. Seminggu kita dihentam kononnya Perdana Menteri tidak jawab. Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana prosesnya (pelantikan hakim) masih berjalan.

“Cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara perlu melalui peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan saranan daripada Perdana Menteri untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas dirunding bersama Majlis Raja-Raja,” katanya.

Menurut Anwar, beliau tidak boleh mendahului proses tersebut memandangkan perbincangan Majlis Raja-Raja berlangsung pada 15 dan 16 Julai lalu.

“Nama calon telah saya kemukakan lebih awal, sebelum negara ‘riuh’. Kita hanya tunggu giliran Majlis Raja-Raja bermesyuarat.

“Sebelum itu, pelantikan-pelantikan lain seperti Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan dua bulan atau dua bulan setengah lebih awal.

“Semuanya ikut proses. Tiada siapa boleh mendahului perkenan Tuanku dan rundingan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tidak timbul isu pertukaran nama saat akhir kerana nama yang dikemukakan sejak awal itu kekal dan tidak berubah.

“Kononnya ada nama lain yang masuk, Datuk ini atau Tan Sri itu. Tapi sebenarnya tidak ada. Itu semua hanya spekulasi yang sengaja direka.

“Saya percaya ada juga pihak yang membocorkan maklumat dan menyebarkan cerita sebegini, tidak mengapalah Itu kerja mereka. Tapi sekarang, bila sudah jelas, tak ada siapa bersuara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN