PETALING JAYA – Berbangga dengan busana tradisional, pempengaruh Kasih Iris Leona tampil anggun pada hari graduasinya di University of Bath, United Kingdom (UK) dengan berkebaya merah jambu.
Anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan di majlis yang berlangsung di pusat pengajian terbabit, kelmarin.
Leona, 23, yang menamatkan pengajian selepas tiga tahun di luar negara itu turut ditemani seluruh anggota keluarga termasuk ibu bapanya.
Azhar menzahirkan perasaan bangga atas kejayaan anak bongsunya dengan berkongsi hantaran menyentuh hati di sosial.
“’Twinkle twinkle my little star. Now you can fly further from where you are’.
“Sehari di hari graduasi Leona di University of Bath, United Kingdom,” tulisnya dalam keterangan gambar pada majlis berkenaan.
Ucapan tersebut mengundang maklum balas positif daripada pengikut yang tumpang bangga melihat kejayaan Leona.
Perasaan bangga aktor terbabit dapat dilihat menerusi perkongsian pelbagai foto dan video puterinya sepanjang acara graduasi berkenaan.
Selain berkongsi ucapan tahniah, pemilihan persalinan yang juga mengikut warna kesukaan wanita terbabit turut meraih pujian.
Rata-rata pemerhati berbangga apabila Leona tidak melupakan keunikan persalinan tradisional dengan menggayakan busana itu di hari istimewanya.
“Walaupun selalu nampak seksi, hari graduasi tetap pilih kebaya. Manis sangat,” kata seorang netizen.
“Berbangga dengan Leona sebab tak lupakan pakaian kebanggaan kita,” luah pengikutnya yang lain.
Bahkan gaya klasik moden itu turut dilengkapkan ahli keluarga apabila mereka juga memilih tema sedondon rona merah jambu.
Terdahulu, Leona memulakan pengajian di universiti yang tersenarai antara pusat pendidikan terbaik di UK itu pada September 2022.
Begitupun, dia masih kerap berkongsi rutin harian sebagai pelajar di luar negara dengan pengikut di media sosial membuatkannya dekat di hati ramai. – KOSMO! ONLINE