Dua peniaga kecil yang berhutang dengan ah long hadir membuat aduan kepada Mohamad Yusrizal di pejabat Cake di Alor Setar kelmarin.

Pinjam ah long beli gajet PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendedahkan terdapat ibu bapa yang sanggup berhutang dengan ah long semata-mata untuk menyediakan gajet bagi kemudahan anak-anak mereka menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, peminjam terdiri daripada peniaga kecil dan bekerja sendiri yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cake menerima sembilan aduan daripada ibu bapa yang meminjam ah long untuk membeli barang keperluan sekolah anak-anak termasuk gajet bagi mengikut PdPR sejak PKP 2.0.

“Kebanyakan mereka me­minjam wang sebanyak RM3,000 ke bawah dengan kadar faedah antara 10 hingga 20 peratus dan bayaran ansuran pula secara harian atau mingguan,” katanya di pejabatnya di sini kelmarin.

Menurutnya, pengadu men­dakwa terpaksa berbuat demi­kian kerana tidak mempu­nyai pilihan lain.

“Mereka mendakwa sudah cuba membuat pinjaman dengan bank, tetapi gagal kerana tidak menepati kelayakan dan hanya berniaga secara kecil-kecilan,” ujarnya.

Kedai komputer riba menjadi tumpuan ibu bapa yang mencari gajet bagi keperluan anak-anak mereka mengikuti PdPR. – GAMBAR HIASAN

Mohamad Yusrizal, bagaima­napun berkata, ibu bapa terbabit mendakwa, mereka sukar untuk menjelaskan semula pinjaman kerana kadar bayaran harian atau mingguan yang tinggi.

“Ibu bapa ini mendakwa tertekan kerana terpaksa bayar dalam amaun tinggi, sedangkan pendapatan mereka terjejas teruk sepanjang PKP 2.0.

“Sejak pelaksanaan PKP 2.0, Cake menerima 17 aduan daripada peminjam ah long ter­masuk peniaga kecil yang terputus modal berniaga. Mereka ini telah ­berhutang dengan ah long dengan jumlah keseluruhan pinjaman kira-kira RM51,000,” ujarnya.

Justeru, Cake meminta Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk menyediakan gajet seperti komputer riba atau telefon pintar kepada golongan susah.

Sementara itu, seorang pe­ngacara majlis yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 39, berkata, dia terpaksa meminjam RM2,000 dengan ah long untuk membeli telefon pintar buat anaknya berusia sembilan tahun agar tidak ketinggalan mengikuti PdPR.

Katanya, dia mendapat nombor telefon peminjam wang dipercayai tidak berlesen itu dari­pada kad-kad yang diselitkan di kereta dan motosikal.

“Meskipun sedar berdepan risiko, namun dia terpaksa ke­rana tiada wang simpanan dan pada masa sama, tidak mahu anaknya tertinggal mengikuti kelas-kelas secara online.

“Jadi, saya buat keputusan pinjam ah long. Urusannya sa­ngat mudah, hanya perlu beberapa maklumat diri sebelum wang diberikan,” ujarnya.

Katanya, dia kini perlu membayar kira-kira RM400 seminggu dan terpaksa mencari pendapatan lain sebagai penghantar bara­ngan termasuk makanan.

“Ah long ambil kadar bunga kira-kira 10 peratus daripada jumlah pinjaman, namun akan meningkat jika saya gagal melunaskan hutang mengikut jadual ditetapkan.

“Setakat ini, saya masih mampu bayar pinjaman itu walaupun rasa sangat terseksa kerana jumlah bayaran yang tinggi,” katanya.

Menurut Ahmad, dia hilang punca pendapatan sebagai pe­ngacara majlis sepanjang PKP, tambahan pula isterinya tidak bekerja.

“Kami terpaksa melalui saat-saat yang sangat sukar dalam hidup dan berharap PKP segera berakhir bagi membolehkan saya kembali mencari rezeki sebagai pengacara majlis,” ujarnya.

 

Gajet serta capaian internet menjadi keperluan utama dalam proses PdPR dalam situasi negara berdepan ancaman Covid-19. – GAMBAR HIASANGagal pinjam bank, berhutang ah long

 

Zakat Kedah peruntuk RM23.2j basmi kemiskinan digital

BALING – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM23.2 juta bagi memastikan pelajar daripada keluarga miskin dan asnaf di negeri ini tidak tercicir dalam mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengerusinya, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, kaedah PdPR telah memberi kesan kepada kebanyakan keluarga di seluruh negara terutamanya golongan miskin dan asnaf sehingga mewujudkan satu istilah baharu dikenali sebagai ‘miskin digital’.

“LZNK antaranya telah meluluskan skim khas penggunaan wakalah agihan zakat berjumlah RM21,705,396 kepada sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah di bawah selian Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

“Peruntukan itu bagi tujuan pembelian peralatan PdPR sama ada telefon pintar, tablet, komputer riba dan sebagainya kepada pelajar miskin dan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Smartphone kepada Orang Asli di perkampungan Orang Asli, Lubuk Legong, Kampung Lalang di sini kelmarin.

Ammar memberitahu, LZNK juga memperuntukkan RM650,000 kepada tiga buah Sekolah Zakat Kedah yang menempatkan sepenuhnya pelajar-pelajar daripada keluarga asnaf bagi melaksanakan program i-Digital.

“Dana sebanyak RM561,000 juga diberikan kepada 178 buah sekolah berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bagi membantu pelajar-pelajarnya menghadapi masalah peralatan digital berikutan penularan pandemik ­Co­vid-19,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya juga akan mengagihkan bantuan te­lefon pintar berserta data internet percuma selama setahun kepada 360 pelajar fakir dan miskin yang cemerlang tajaan LZNK yang menuntut di sekolah agama rakyat.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN