RIYADH – Seorang kerabat diraja Arab Saudi yang digelar ‘Putera Beradu’ meninggal dunia pada usia 36 tahun selepas koma selama dua dekad akibat kemalangan kereta, lapor akhbar The Sun UK.
Putera Al-Waleed bin Khalid menghembuskan nafas terakhir semalam.
Berita kematian itu diumumkan oleh ayahanda almarhum, Putera Khalid bin Talal menerusi hantaran di laman X.
“Dengan hati yang percaya pada kehendak dan ketentuan Allah dan penuh kesedihan, kami mengumumkan kemangkatan anakanda tercinta kami, Putera Al-Waleed bin Khalid. Semoga Allah merahmatinya,” kata Putera Khalid.
Putera Al-Waleed mengalami pendarahan otak ketika berumur 15 tahun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di sebuah koleh ketenteraan di London pada 2005.
Beliau kemudian dimasukkan ke pusat perubatan King Abdulaziz Medical City di Riyadh.
Keadaannya kekal sama meskipun pelbagai usaha perubatan intensif telah dijalankan termasuk rawatan pakar dari seluruh dunia. – AGENSI