MALAYSIA diramalkan bakal menjadi ‘tanah perkuburan kenderaan lama‘ jika masalah lambakan ekoran kejatuhan mendadak harga dan pilihan kereta baharu yang semakin banyak tidak diselesaikan secara teliti.
Beberapa faktor utama telah dikenal pasti sebagai menyumbang kepada fenomena lambakan pasaran kereta terpakai yang mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya bagi penjual kenderaan second hand atau used car.
Antaranya adalah tawaran promosi kereta baharu yang agresif, tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun, kos penyelenggaraan kereta berusia yang tinggi, trend pengguna yang gemar menukar kereta baharu selepas tempoh waranti tamat dan teknologi baharu yang dibekalkan kepada model terkini menjadi pilihan pengguna.
Kebimbangan kegagalan menangani isu lambakan kereta terpakai bukan sahaja menjejaskan industri automotif, malah memberi impak negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Malah, pemandangan jalan raya terutamanya di kawasan bandar akan ‘cacat’ dan masalah kesesakan akan lebih kerap berlaku jika masalah berlaku kepada kereta lama yang masih digunakan oleh pengguna.
Wartawan Kosmo! Ahad, Rasdan Ahmad berkesempatan menemu bual pakar automotif yang juga pengacara bagi portal Pandu Laju, Gan Yong Li atau lebih mesra disapa Abang Gan bagi mengupas isu ini.
KOSMO! AHAD: Industri permotoran negara ketika ini dilihat begitu aktif bersaing tidak kira persaingan antara jenama mahupun teknologi terkini. Apa pandangan anda?
YONG LI: Sekarang persaingan memang berlaku, ia melibatkan beberapa ‘puak’ antaranya keluaran Jepun serta Eropah dan semestinya China. Apa yang menarik adalah perang harga daripada jenama-jenama ini.
Sebelum ini kita tidak pernah dengar pun apa-apa jenama memberikan promosi dan diskaun. Pernah ada satu jenama dari Jepun iaitu Mazda mengakui terkesan dengan perang pasaran ketika ini, terutamanya bagi bersaing dengan jenama dan pengeluar kereta yang baharu.
Jenama-jenama baharu ini mempunyai harga yang murah tetapi kualiti mereka setanding dengan jenama-jenama yang telah dikenali dunia selama ini.
Persaingan ini sebenarnya ada baik dan buruk juga, bagi pembeli memang untung. Teknologi baharu harga murah, diskaun semakin rancak tetapi bagi penjual pula terutama kereta terpakai akan berasa kejatuhan harga amat tinggi.
Namun bagi pembeli ada juga masalah, jika beli kereta baharu dari satu jenama, diskaun untuk model baharu jenama tersebut selepas ini biasanya akan diberi oleh pembekal. Ini juga faktor boleh menyebabkan harga pasaran kereta terpakai semakin menurun.
Jenama dari China, tidak kira kereta mahu pun motosikal berharga murah, berkualiti dan mempunyai teknologi terkini. Bagaimana anda lihat perkembangan ini?
Memang tidak dinafikan produk dari China ketika ini sedang menjadi pilihan kepada pembeli, bahkan pengguna di Malaysia juga begitu. Harga dan kualiti memang tidak boleh disangkal lagi, harga produk China ini murah dan berkualiti tinggi.
Automotif China bukan hanya tertumpu kepada kereta sahaja, malah ketika ini kita boleh lihat bagaimana persaingan dalam pasaran skuter, banyak jenama-jenama dari China sudah mula bersaing di Malaysia.
Keadaan ini sebenarnya menguntungkan pengguna, pilihan jenama banyak, jadi demand untuk jenama-jenama dari Jepun bakal jatuh, dengan sendiri harga-harga produk akan jatuh dan semakin murah kerana permintaan semakin kurang.
Tapi kalau kita lihat dari sudut jangka masa panjang, dari segi harga, jenama-jenama dari China ini biasanya akan jatuh terutamanya bila mencapai taraf terpakai.
Bagaimanapun, kalau permintaan tinggi saya rasa pasaran produk China akan berlainan, harga mungkin akan berubah walaupun sudah terpakai.
Ramai yang kata rugi beli kereta terpakai sebab harga kereta baharu sangat berbaloi dengan apa yang diberi terutamanya dari segi teknologi. Apa pandangan anda?
Untuk isu ini, sebenarnya ada dua pandangan, rugi atau tidak kena tengok pada model apa yang ingin dibeli.
Pengguna sekarang makin bijak, betul jika diberi pilihan ramai akan memilih kenderaan baharu terutama berkenaan waranti yang ditawarkan.
Tapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, kereta terpakai akan menjadi pilihan mereka, ada kenderaan-kenderaan terpakai ini yang kondisinya masih bagus dan tidak tenggelam zaman.
Contohnya kereta yang memang tiada di Malaysia, orang panggil kereta recond, jenama-jenama ini agak susah didapati. Mungkin harga dia selepas ini mahal, rugi agak subjektif.
Nak kata berkenaan rugi tu memang ada, industri kita sekarang agak perlahan. Sama sahaja dengan permintaan kenderaan baharu, tetapi keadaan itu masih okey dan berjalan lancar.

Adakah dakwaan mengatakan Malaysia bakal dipenuhi kenderaan ‘buruk’ selepas ini?
Dakwaan ini saya rasa akan wujud dan berlaku, sebab kita tiada polisi pelupusan kenderaan lama untuk menyelesaikan masalah ini. Dulu ada sekali kerajaan ada buat. Akan bagi rebat kepada yang menjual kereta lama mereka dan dijadikan sebagai bayaran muka untuk kereta baharu.
Lambakan itu pasti kerana Malaysia tiada program pelupusan kereta-kereta lama ini, tidak seperti negara-negara lain terutama Singapura yang memperkenalkan program jangka hayat kenderaan dibenarkan untuk berada di negara tersebut.
Program seumpama itu sudah ada tetapi pelaksanaannya tidak berjaya dan dihentikan. Malaysia tidak mewajibkan untuk menghalang kenderaan lama ini seperti selepas lima tahun kena wajibkan buat pemeriksaan, kita tiada undang-undang itu.
Kenderaan ‘buruk’ ini bukan sahaja menjadi lambakan tetapi apa yang membimbangkan adalah mengenai keselamatan pengguna jalan raya yang lain, pemeriksaan berkala seperti itu penting bagi mengelakkan kemalangan tragis dari berlaku.
Bagaimana anda melihat persaingan antara penjual kereta terpakai dan kereta baharu?
Ada satu ketika kalau tidak silap ketika pandemik Covid-19, permintaan bagi kenderaan terpakai cukup tinggi, mungkin kita faham ketika itu ramai rakyat kita yang susah dan diberhentikan kerja.
Tapi sekarang agak lain, seperti yang saya katakan tadi sebab pesaing bagi kenderaan baharu cukup banyak. Harga jenama-jenama baharu ini juga tidak terlalu mahal dan berbaloi dengan teknologi yang diberi kepada pengguna.
Apa yang menarik adalah dari segi jaminan diberikan, ada yang lima tahun ada yang mendapat jaminan seumur hidup. Perkara macam ini terutama tawaran rebat dan diskaun akan menyebabkan kereta terpakai mendapat permintaan rendah ketika ini.
Kenderaan elektrik (EV), adakah keperluan ketika ini ataupun sekadar gajet?
Bercerita berkenaan EV, buat masa ini bagi saya bukan lagi keperluan selagi harga petrol kita yang tidak mahal, tetapi keadaan ini bergantung juga dengan tarif elektrik semua.
Tapi sekiranya harga petrol tinggi dan akan ada kesan kepada pengguna, masa itu mungkin kenderaan EV ini boleh dianggap sebagai satu keperluan.
Ketika ini EV dilihat sebagai life style masyarakat kita, kebiasaannya orang yang beli EV ini dia ada dua kereta atau lebih. Ada yang guna satu EV tapi bilangan dia kecil.
Ada juga yang beli EV sebab sayangkan alam sekitar, mungkin kalau harga EV ini murah kemungkin ramai yang membeli.
Kita tengok subsidi yang diberikan kerajaan sehingga akhir tahun ini, faktor ini juga akan menjawab persoalan pemilihan pelanggan kepada kenderaan tanpa petrol ini.
Sediakah rakyat Malaysia menerima kemajuan teknologi EV dari segi penyelenggaraan, tempat pengecasan dan jumlah mekanik terlatih?
Walaupun kerajaan ada matlamat untuk menyediakan sebanyak 10,000 pengecasan, tapi saya rasa dalam masa terdekat benda itu tidak akan tercapai. Sekarang kita ada 3,000 pengecas.
Kalau lihat kepada jumlah EV di Malaysia bagi saya ia sudah mencukupi sebenarnya, kalau saya sebagai pemilik rasa memang cukup, cuma kadang-kadang di kawasan luar bandar mungkin agak kurang dan perlu dipasang juga.
Kos pemasangan memang mahal, dari segi persedian tu memang boleh dikatakan ramai yang masih takut terutama kos penyelenggaraan. Tetapi buat masa ini kebanyakan EV di Malaysia ada perlindungan lagi, jadi bagi saya isu ini mungkin boleh selesai.
Pada masa depan, memang kita perlukan bengkel-bengkel bertauliah dengan mekanik berilmu sebab EV berbeza dari kereta petrol, semua bengkel boleh, EV pula perlukan kepakaran khas.

BAGI Yong Li, penggunaan EV di negara ini pada masa sekarang bukan satu keperluan memandangkan harga bahan api tidak terlalu tinggi.
Adakah Malaysia (negara pengeluar minyak) bakal sepenuhnya menggunakan EV dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang?
Untuk tempoh 10 ke 15 tahun ini saya rasa tidak, kita negara pengeluar minyak. Kenderaan petrol tetap akan menjadi pilihan.
Tapi jika kerajaan telah menetapkan satu tempoh contohnya 2035 adalah tahun terakhir pembelian kereta petrol, mungkin sepenuhnya rakyat guna EV.
Tapi jika dilihat untuk jangka masa panjang, kenderaan EV bukan menjadi pilihan selepas ini sebab ada syarikat permotoran dari China sedang menhasilkan kenderaan hybrid serta PHEV kerana perjalanan kenderaan ini lebih panjang dan menjimatkan.
Masa depan jenama negara, Proton dan Perodua, apa pandangan anda?
Buat masa ini dua jenama nasional ini bijak dan turut bersaing dalam pasaran sekarang. Untuk Proton saya rasa tidak menjadi masalah kerana rakan kongsinya yang kita tahu adalah Geeley dan sememangnya jenama ini sedang rancak dalam EV.
Bagi Perodua mungkin agak sukar sedikit kerana rakannya iaitu Toyota dan Daihatsu tidak menitikberatkan EV, mereka lebih mencipta enjin guna tenaga yang lain seperti hidrogen.
Perodua perlu mengeluarkan idea serta kos tinggi untuk kajian kenderaan EV mereka.














