ERMAN (kiri) dan Ida mengambil Aira sebagai anak angkat selepas menanti zuriat hampir dua dekad ketika ditemui di Taman Sinar Harapan, Jitra baru-baru ini.

Aira, hadiah terindah selepas 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – “Kami tersentuh lihat anak pada usia dua tahun ini sudah pandai berdikari. Ketika itu kami sedar, kami dan Aira ditakdirkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.”

Demikian luah pasangan Erman, 45, dan Ida, 47, dari Gombak, Selangor selepas mengambil anak angkat, Aira, 2, yang sebelum ini menghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Jitra, di sini pada Mei lalu selepas hampir dua dekad menanti zuriat.

Lebih menyentuh perasaan, keputusan itu dibuat walaupun mereka telah dimaklumkan bahawa Aira dilahirkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan.

Menurut Erman, sepanjang 18 tahun perkahwinan, mereka bukan sahaja diuji dengan ketia­daan zuriat, malah pernah dua kali ditipu individu menjanjikan anak angkat kepada mereka.

“Sebelum ini kami ada cuba nak ambil anak angkat melalui individu yang dikenali di media sosial, namun malangnya kami ditipu sehingga kami berasa serik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, rumah tangga mereka sekali lagi diuji pada 2021 apabila isteri disahkan menghidap kanser rahim tahap satu dan perlu menjalani kemoterapi.

“Selepas isteri disahkan menghidap kanser, saya tahu agak mustahil untuk kami mendapatkan zuriat sendiri. Namun, saya tak mahu berputus asa, sebab itu saya terfikir untuk berusaha ambil anak angkat,” ujarnya.

Katanya, mereka mengetahui mengenai TSH selepas mengikuti media sosial aktivis masyarakat, Natipah Abu pada 2022.

“Hampir dua tahun saya pujuk isteri, saya bawa isteri ke TSH dua tiga kali untuk melawat kanak-kanak di sana. Pada awalnya, isteri saya agak berbelah bahagi memandangkan Aira mempu­nyai isu kesihatan sejak lahir.

“Mula-mula dia diam tapi lama-lama hati dia terbuka. Bila nampak sendiri keadaan Aira yang manja dan aktif, isteri saya akhirnya setuju,” ujarnya.

Jelasnya, Aira sebelum ini dilahirkan cukup bulan namun mengalami pelbagai komplikasi seperti kecederaan otak, gangguan buah pinggang dan hati, masalah pembekuan darah serta kecederaan saraf bahu kiri.

Katanya, kanak-kanak itu juga mempunyai saluran jantung kecil (tiny PDA) yang belum tertutup sepenuhnya, namun dia kini disahkan berada dalam keadaan stabil dan sihat.

“Kalau dulu saya banyak habiskan masa di pejabat, sekarang kalau boleh habis waktu kerja nak cepat-cepat balik rumah nak jumpa anak.

“Isteri saya pun makin ceria, sekarang dia banyak habiskan masa layan anak di rumah sahaja,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN