JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan siasatan dengan segera mengenai punca sebenar lubang manhole yang tidak bertutup yang menjadi punca van sekolah yang membawa 16 murid dan pelajar sekolah terbalik di Jalan Abdul Samad, di sini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, siasatan itu bagi mengetahui sama ada ia berpunca daripada kes kecurian atau kecuaian pihak kontraktor.
“Saya mengambil maklum dan amat sedih dengan insiden kemalangan yang melibatkan sebuah van sekolah terbalik di Jalan Abdul Samad pagi ini dipercayai akibat melanggar lubang manhole yang tidak bertutup.
“Saya memandang serius kejadian ini. Buat masa ini, punca sebenar lubang manhole tersebut tidak bertutup masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Hari ini Kosmo! melaporkan, sebuah van sekolah yang membawa seramai 16 pelajar dan murid terbalik setelah melanggar lubang tersebut.
Ia melibatkan 10 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, dan masing-masing tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd. Khalid dan SMK Aminuddin Baki.
Mohamad Fazli berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuai atau bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE