KUANTAN – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun gagal dikesan sejak tiga hari lalu selepas dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Seberang Sungai Ular, di sini.
Mangsa, Wan Nur Adlina Batrisyia Wan Mohammad disedari hilang pada petang Selasa lalu apabila bapanya tidak menemui remaja itu di bilik tidurnya kira-kira pukul 6 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, bapa mangsa, Wan Mohammad Wan Mustaffa, 48, membuat laporan polis selepas usaha mencari anaknya itu gagal.
“Pengadu cuba menghubungi anaknya melalui telefon bimbit, namun tidak berjaya dan pencarian sekitar Cherating serta pertanyaan kepada rakan-rakan anaknya juga tidak membawa sebarang petunjuk.
“Mangsa baru menamatkan persekolahan dan masih tidak bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd. Adli berkata, keluarga mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu semalam dan setakat ini mangsa masih belum dijumpai.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja itu diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE