PETALING JAYA – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diharap mampu mengekalkan momentum cemerlang mereka apabila turun berdepan pasangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi separuh akhir Terbuka Jepun 2025 esok.
Gandingan ranking No. 4 dunia itu berjaya menyingkirkan pasangan tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara di suku akhir menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-12 hari ini.
Kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo tersebut sekali gus meningkatkan motivasi Tang Jie-Ee Wei selepas melalui dua pusingan awal yang sedikit mencabar.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengakui prestasi anak buahnya itu semakin meningkat terutama selepas disatukan semula baru-baru ini.
“Dari pusingan pertama hingga kedua, mereka ada bergelut sikit. Mungkin baru disatukan semula, masih ada rasa teragak-agak.
“Tapi hari ini, apa yang saya lihat permainan mereka memang nampak positif, terutama Ee Wei yang banyak mengucar-kacirkan pemain wanita Jepun di bahagian depan jaring,” katanya.
Rexy berkata, persembahan meyakinkan itu perlu diteruskan kerana lawan yang bakal mereka tempuhi di separuh akhir bukan calang-calang.
“Zhen Bang dan Ya Xin bukan mudah. Tapi kalau mereka boleh kekalkan fokus dan agresif macam hari ini, tak mustahil kita boleh cipta kejutan,” katanya.
Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa akur apabila tersekat di suku akhir selepas tumpas kepada Zhen Bang-Ya Xin 13-21, 21-23.
Soon Huat mengakui mereka melakukan terlalu banyak kesilapan mudah terutama ketika mata-mata penting yang sepatutnya dimanfaatkan.
“Kami terlalu nak menang sampai hilang kawalan. Banyak buat silap waktu genting, itu yang membunuh peluang kami,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kini, harapan negara hanya terletak kepada Tang Jie-Ee Wei untuk membawa cabaran Malaysia ke final Super 750 pertama musim ini dan menjadi medan terbaik untuk mereka lunaskan dendam kekalahan kepada pasangan China itu di Terbuka Jepun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE