PETALING JAYA – Projek pembesaran jalan dalam kawasan Desa Pandan di ibu negara bagi memberi laluan kepada kenderaan berat tidak sesuai kerana jalan di situ merupakan kawasan perumahan.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, struktur jalan di kawasan berkenaan tidak mampu menampung lori besar serta treler.
“Pelebaran jalan yang melibatkan jalan dalam Desa Pandan ini akan memberi kesan keselamatan kepada penduduk flat, anak-anak Sekolah Kebangsaayn Desa Pandan, Sekolah KAFA serta peniaga-peniaga kecil di sini.
“Keselamatan penduduk terutama anak-anak kecil akan lebih bahaya. Oleh kerana inilah, penduduk dan peniaga di sini tidak bersetuju dengan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Johari menggesa Dewan Kuala Lumpur (DBKL) meneliti semula rancangan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan bagi memberi laluan kepada kerja pelebaran jalan.
Menurutnya, laluan terbabit adalah jalan dalam dan para peniaga tersebut telah menjalankan perniagaan secara sah di kawasan itu selama bertahun-tahun.
Johari seterusnya menegaskan, beliau telah bertemu dengan pihak DBKL sebelum ini dan menyuarakan kebimbangan penduduk serta peniaga mengenai projek tersebut.
Kata beliau, sekiranya DBKL tetap mahu meneruskan projek berkenaan, mereka seharusnya perlu maklum dengan menghantar surat rasmi kepadanya selaku wakil rakyat kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, tanpa sebarang pemakluman, DBKL telah melantik kontraktor untuk projek itu tanpa melibatkan sebarang sesi libat urus susulan bersama beliau, penduduk dan peniaga.
“Tindakan DBKL kepada peniaga kecil tanpa notis munasabah, tanpa tapak alternatif mahupun pampasan kepada mereka juga adalah tidak wajar kerana mereka ini telah berniaga di sini hampir 10 ke 15 tahun yang mempunyai lesen sah sebelum ini. Ini membuatkan peniaga-peniaga hilang pendapatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE