DAMSYIK – Israel melancarkan serangan udara baharu ke atas bandar Sweida, selatan Syria, sehari selepas gencatan senjata diumumkan setelah pertempuran berhari-hari berlaku antara etnik Druze dan Badwi, lapor laman berita TRT World.
Agensi berita negara, SANA berkata, serangan lewat semalam menyasarkan pinggir bandar, namun ia tidak memberikan butiran mengenai kecederaan atau kerosakan.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Kementerian Dalam Negeri Syria mengesahkan perjanjian gencatan senjata di bandar itu. Ia termasuk integrasi semula sepenuhnya wilayah selatan di bawah kuasa kerajaan pusat.
Israel telah menyasarkan ibu negara, Damsyik, serta Sweida dan Daraa, atas dakwaan mahu melindungi masyarakat Druze.
Sementara itu, Amerika Syarikat berkata semalam bahawa ia menentang serangan sekutunya itu di Syria, sehari selepas Washington dan Turkiye menjadi pengantara perjanjian untuk menamatkan keganasan.
“Amerika Syarikat tidak menyokong serangan Israel yang baharu,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce kepada pemberita.
“Kami terlibat secara diplomatik dengan Israel dan Syria di peringkat tertinggi untuk menangani krisis sekarang dan mencapai persetujuan berkekalan antara kedua-duanya,” katanya. – AGENSI