SEBERANG PERAI – Peniaga dan usahawan Islam yang menunaikan zakat perniagaan bukan sahaja melunaskan kewajipan, malah turut menyumbang kepada pembangunan golongan asnaf di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) turut melancarkan Logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP bagi menggalakkan lebih ramai usahawan membayar zakat perniagaan.
Katanya, usaha itu sebagai salah satu jalinan rakan sinergi dan juga strategi dalam konteks kerjasama antara Zakat MAINPP dengan syarikat yang membayar zakat yang bersama dapat membangunkan asnaf dan sosio ekonomi umat Islam di negeri ini.
“Logo ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori gangsa (bayaran sehingga RM5,000), kategori perak (bayaran sehingga RM49,999) dan kategori emas (bayaran RM50,000 ke atas).
“Selain itu, kita menghargai pembayar zakat melalui pemberian sijil atau plak yang boleh dipamerkan di premis perniagaan masing-masing, umpama logo halal.
“Dengan adanya logo terbabit, ini menunjukkan perniagaan mereka diiktiraf daripada segi halal meliputi proses pembuatannya sekali gus menggalakkan peniaga lain untuk menunaikan zakat perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita selesai majlis pelancaran di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, logo berkenaan turut bakal menambahkan keyakinan masyarakat sebagai pembeli sekali gus akan meningkatkan keuntungan peniaga. – KOSMO! ONLINE