JITRA – “Ada kanak-kanak yang ‘pergi’ tanpa mengetahui siapa ibu bapa kandung mereka, tak sempat merasai kasih sayang dan pelukan seorang ibu atau ayah.”
Itu kata Ahli Lembaga Pelawat Taman Sinar Harapan (TSH) Jitra, Natipah Abu mengenai nasib segelintir penghuni rumah kebajikan tersebut yang dibuang selepas dilahirkan.
“Mereka tumpang berteduh dan mengharapkan kasih sayang daripada kakitangan TSH serta ahli lembaga pelawat yang mereka panggil mak dan abah.
“Saya difahamkan ada penghuni yang meninggal dunia di rumah perlindungan ini akibat masalah kesihatan. Lebih menyedihkan apabila jenazah mereka pun kebanyakan tidak dituntut waris,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan penghuni TSH Jitra mengalami kecacatan dan menghidap penyakit kronik, menyebabkan sukar untuk mereka mendapatkan keluarga angkat.
Katanya, terdapat sebilangan penghuni yang boleh dirawat, seperti masalah sumbing dan kecacatan sejak lahir yang menyebabkan mereka tidak dapat membuang najis secara normal.
“Pemikiran mereka ini normal, cuma mengalami kecacatan seperti sumbing dan masalah kesihatan lain.
“Saya harap jika ada individu prihatin dan layak, mereka boleh ambil anak-anak ini sebagai anak angkat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
Katanya, selepas beliau membuat hantaran mengenai penghuni TSH di akaun media sosialnya, ramai yang menghubunginya untuk bertanyakan tentang bayi dan kanak-kanak di situ.
“Bagaimanapun, mereka rasa berbelah bahagi untuk mengambil penghuni sebagai anak angkat disebabkan masalah kesihatan dan kecacatan walaupun telah disahkan pulih,” katanya.
Ujarnya, sebelum diserahkan kepada keluarga angkat, pihak TSH Jitra akan memastikan penghuni telah sihat dan sembuh daripada masalah kesihatan atau kecacatan.
“Pihak TSH juga akan memastikan penghuni bersedia untuk memulakan kehidupan baharu bersama keluarga angkat,” ujarnya.
Menurutnya, seorang lelaki yang juga penjawat awam pernah menghubunginya dan mahu mengambil anak angkat dari rumah perlindungan ini.
“Alhamdulillah, lelaki terbabit yang sudah berkahwin dan tidak dikurniakan rezeki zuriat telah lulus permohonan anak angkat.
“Penghuni TSH, iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, kini mendapat kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah yang berhati mulia,” katanya.
Beliau juga sendiri telah mengambil dua beradik sebagai anak angkat yang sebelum itu ditempatkan sementara di situ atas perintah mahkamah, selepas ibu mereka menghilangkan diri, manakala bapa terlibat dalam kes jenayah.
“Ketika diambil kira-kira setahun lalu, dua beradik ini masing-masing berusia 10 dan 12 tahun.
“Alhamdulillah, keadaan mereka kini baik dengan si abang berusia 10 tahun sedang mengikuti pengajian di sekolah tahfiz dan adik perempuannya bersekolah harian,” katanya.















