fbpx
Sebahagian pokok sawit yang dimusnahkan gajah liar di ladang sawit Kampung Sungai Mun, Kechau, dekat Lipis, semalam.

‘Ini bukan main-main, sekali rempuh habis semua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Penduduk Kampung Sungai Mun, Kechau dekat sini hidup dalam ketakutan selepas seekor gajah liar ‘menyerang’ perkampungan itu termasuk memusnahkan tanaman mereka sejak lima hari lalu.

Malah mereka menyifatkan nyawa keluarga termasuk anak-anak kecil menjadi taruhan selagi gajah itu tidak ditangkap.

Seorang warga emas, Raubah Mat Lanar, 74, berkata, hampir setiap malam dia mendengar bunyi mamalia itu berkeliaran di sekeliling rumahnya berikutan kediamannya terletak berdekatan dengan ladang kelapa sawit.

“Saya tinggal seorang diri. Hampir setiap malam saya dengar bunyi gajah. Saya boleh dengar jelas bunyi ranting patah, bunyi haiwan tersebut berkeliaran. Allah saja tahu betapa takutnya saya,” katanya di sini semalam.

Difahamkan, gajah jantan itu terpisah daripada kumpulannya dan memasuki kawasan perkampungan bagi mencari makanan seperti pisang, ubi dan makanan.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zai berkata, walaupun pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah turun padang dan berusaha menghalau haiwan tersebut, namun gajah itu tetap menceroboh kawasan kampung pada setiap malam.

“Kami dapat lihat kesan tapak kaki yang baharu dan tanaman terus dimusnahkan setiap hari. Malah, ada yang dengar bunyi ­gajah di awal pagi.

“Kami bimbang sekiranya kehadiran gajah itu akan menarik lebih banyak gajah lain masuk ke kawasan kampung, lebih-lebih lagi apabila sumber makanan di hutan semakin terhad,” katanya.

Tambah Zai, kampung tersebut memang kaya dengan ­tanaman yang menjadi kegemaran gajah seperti pisang dan kelapa, menjadikannya ‘syurga makanan’ kepada haiwan liar tersebut.

Sehubungan itu, katanya, penduduk merayu pihak berkuasa mengambil tindakan lebih drastik seperti pemantauan berterusan, pemasangan pagar elektrik atau pemindahan gajah sebelum insiden lebih serius berlaku.

“Kami bimbang, kalau seekor sudah berani masuk sampai ke rumah, tidak mustahil akan datang kumpulan yang lain pula. Nyawa kami dan anak-anak di kampung ini dalam bahaya.

“Kami tak minta banyak, cukup kalau boleh jamin ke­selamatan kami. Gajah ini bukan main-main, sekali rempuh, habis semua,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN