PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan platform e-dagang yang lebih inklusif dan komprehensif dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Parlimen tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ketika ini kajian semakan semula perundangan e-dagang yang dilaksanakan oleh kementerian sudah berada di fasa akhir sebelum dimuktamadkan pada Ogos depan.
“Setakat ini ada beberapa syor sama ada kita tampil dengan satu akta baru atau pun kita repeal (mansuh) Akta Perdagangan Elektronik 2006 dengan satu akta yang baru secara keseluruhan.
“Atau pun kita pinda Akta Perdagangan Elektronik 2006 dengan versi yang (lebih) baru lagi. Itu antara syor yang dikemukakan melalui dapatan kajian awal tersebut yang kita masih laksanakan sesi libat urus dan pastinya untuk saya bawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri, sebelum kita putuskan dan bawa ke Parlimen,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan e-Dagang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, kajian semakan semula itu berlandaskan tiga teras utama iaitu memperkukuhkan perlindungan pengguna, meningkatkan keadilan kepada semua pihak dalam urus niaga serta mewujudkan kawal selia yang lebih baik ke atas sektor e-dagang.
Ini kerana katanya, salah satu cabaran sektor e-dagang pada masa kini adalah persaingan daripada platform luar negara yang tidak dikawal selia oleh perundangan sedia ada.
“Sehubungan itu, dapatan awal kajian ini turut mencadangkan keperluan mekanisme kawal selia untuk memastikan platform e-dagang di luar negara yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia turut tertakluk kepada peraturan dan undang-undang seperti platform e-dagang dalam negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE