KUALA LUMPUR – Kejutan terbesar berlaku pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun apabila beregu lelaki No.2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa meninggalkan saingan seawal pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan sebentar tadi, bekas juara dunia itu tewas dalam aksi straight set 15-21, 15-21 kepada rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berdepan detik cemas apabila Ee Yi-Yew Sin lebih banyak memimpin perlawanan sebelum tewas 15-21.
Tersentak dengan kekalahan di set pertama, Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan permainan di set berikutnya, namun Ee Yi-Yew Sin kekal dengan aksi konsisten sebelum menang 21-15 dan melangkah ke pusingan kedua.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut pasangan tersebut tersingkir di pusingan pertama selepas turut mencatat keputusan sama pada kejohanan Terbuka Indonesia bulan lalu.
Sementara itu, satu lagi perlawanan yang turut menemukan dua beregu lelaki negara menyaksikan gandingan No.7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan Arif Junaidi-Yap Roy King 30-28, 21-12.
Turut melangkah ke pusingan kedua esok adalah beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang membenam cabaran pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-16, 21-14. – KOSMO! ONLINE