SACHSENRING – Hubungan antara Fabio Quartararo dan Yamaha kini berada dalam keadaan tegang apabila juara dunia MotoGP 2021 itu secara terbuka meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi jentera pasukan Jepun itu.
Pelumba Perancis berusia 25 tahun itu sebelum ini menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama Yamaha pada 2024 selepas dimaklumkan hala tuju baharu pasukan tersebut.
Bagaimanapun, Quartararo mendakwa tahap pembangunan jentera M1 musim ini masih jauh daripada jangkaan dan tiada peningkatan mendadak setiap perlumbaan.
“Situasi ketika ini makin tegang, sebab kami sentiasa menunggu sesuatu yang positif dan peningkatan pada jentera. Tapi, realitinya, kami belum lihat apa-apa,” katanya.
Quartararo yang berjaya mencatat empat petak utama dan dua podium setakat ini turut mengakui bahawa harapannya untuk kembali mencabar kejuaraan bersama Yamaha semakin pudar.
Beliau juga mempersoalkan kenyataan Ketua Pasukan Yamaha, Paolo Pavesio yang menjangkakan projek enjin V4 akan dilancarkan tahun depan dan menyifatkan kenyataan itu tidak selari dengan realiti teknikal semasa.
“Saya tak peduli sama ada V4 atau tidak, saya hanya mahu jentera yang kompetitif. Mereka tahu apa yang perlu dibuat untuk kekalkan saya,” katanya.
Walaupun maklum balas awal terhadap prototaip V4 dikatakan positif, Quartararo menegaskan masa pusingan jentera masih perlahan dan tidak mampu menyaingi pesaing utama lain.
Kontrak semasa Quartararo bersama Yamaha akan berakhir pada penghujung musim 2026, namun jika tiada perubahan drastik dilakukan dalam masa terdekat, masa depannya bersama pengeluar itu dijangka kembali menjadi tanda tanya. – AGENSI