Sungai Keniam merupakan salah satu sungai pergunungan yang berada di dalam Taman Negara Pahang. Ikan kelah, sebarau dan tengas merupakan antara spesies ikan yang sering menjadi pilihan pemancing jika bertandang ke sungai ini.
Namun untuk pengetahuan anda, di sini juga ada ikan toman yang menjadikan kawasan berlubuk di sepanjang sungai ini sebagai habitatnya.
Bagi saya yang meminati aktiviti mengewang, ikan toman lebih mengujakan berbanding ikan kelah atau tengas.
Ini kerana tenaga ikan toman yang hidup di sungai-sungai pergunungan seperti Sungai Keniam sememangnya sangat padu.
Selain kawasan lombong, tasik dan empangan yang airnya tenang, ikan toman juga diketahui hidup di sungai berarus.
Malah, ada yang hidup di kawasan sungai yang berarus pasang dan surut dengan saliniti air masin agak tinggi. Namun, sungai-sungai ini terletak di kawasan tanah rendah iaitu di hilir dengan arus mengalir perlahan.
Manakala sungai-sungai pergunungan ini terletak di kawasan hulu yang bertanah tinggi.
Sungai ini sempit, bereba banat, aliran airnya laju dan kerap berlaku fenomena kepala air iaitu keadaan air yang naik secara tiba-tiba dengan kekuatan arus luar biasa.
Trip Sungai Keniam
Trip kami bermula dengan menaiki bot kayu dari jeti di Kuala Tahan. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam setengah untuk sampai di kuala Sungai Keniam.
Dari sana, kami memerlukan masa tambahan antara tiga hingga empat jam lagi untuk ke tapak perkhemahan di Lata Said.
Perjalanan ini bergantung kepada keadaan sungai iaitu tinggi atau rendahnya paras air.

Semakin rendah paras air, semakin banyaklah jeram-jeram yang kami perlu tempuhi, maka terpaksalah turun dan menolak bot.
Tenaga juga memainkan peranan utama, jika ramai yang ‘pancit’, maka semakin lamalah hendak sampai ke destinasi.
Trip kami ini, Yusri dan Salimi menjadi guide. Target utama kami pastinya ikan kelah yang banyak terdapat di sana. Pada masa sama, aktiviti mengilat akan terselit sama.
Kelah tutup mulut
Sesi pancingan kami bermula dengan trekking ke beberapa lokasi berhampiran tapak perkhemahan.
Ada juga yang naik bot kayu bersama guide untuk mengilat di lokasi agak jauh.
Target utama kami kurang menjadi kerana selama lima hari empat malam berkampung di sana, hanya beberapa ekor ikan kelah yang dapat ditawan, itupun bersaiz cilik.
Berkemungkinan keadaan air sungai yang terlalu jernih membuatkan ikan tengas dan kelah sangat berwaspada terhadap persekitaran terutamanya umpan buah kelapa sawit yang kami hulurkan.
Saya yang sememangnya lebih berminat dengan aktiviti mengewang berasa amat bosan apabila terpaksa duduk menghadap joran pancing dasar.
Oleh itu, set mengilat dipasang dan saya sentiasa mencari masa untuk mengilat di kawasan yang jauh dari sahabat-sahabat sedang memancing dasar untuk mengelakkan mengganggu kedamaian mereka.
Saya menggunakan gewang topwater kerana lokasi mengilat bereba banat. Popper kecil digunakan untuk mencari sebarau.
Hasilnya, dapat beberapa ekor sebarau, namun semuanya bersaiz bawah 500 gram.
Dua kali popper saya dihentam toman, dan kedua-duanya tidak dapat dikawal dan putus kerana perlawanannya sangat kuat. Tidak tertanggung set casting yang saya gunakan.
Umpan ikan nyenyuar
Pada hari keempat, guide Yusri dan Salimin mengajak saya memancing toman serta sebarau menggunakan umpan hidup kerana pancingan ikan kelah senyap tanpa ada hasil yang baik.
Saya menurutkan sahaja kerana inilah peluang saya belajar bagaimana hendak memancing ikan toman, selain menggunakan teknik mengewang.
Di satu lubuk yang tenang dan dalam, Salimin melabuhkan umpan ikan nyenyuar. Umpan pertama terus dibedal toman bersaiz ‘remaja’ dengan anggaran dua kilogram (kg).
Kemudian umpan ikan nyenyuar Yusri pula diambil ikan toman, tetapi ia lucut di separuh jalan, dan yang tinggal hanyalah separuh badan umpan tersebut.
Saya ingatkan itulah pengakhiran sesi pancingan kami kerana merasakan ikan-ikan di lubuk tersebut pasti akan menjadi culas, ternyata saya tersilap.
Tidak lama kemudian, Salimin bertarung sekali lagi, namun kali ini dengan sesuatu yang lebih kasar.
Akhirnya, toman bersaiz anggaran 5kg berjaya ditebingkan. Perlawanan tersebut sangat mendebarkan kerana kekuatan luar biasa ikan dan lubuk dilapisi bangkar-bangkar kayu bersilang.
Hanya ‘kuat lawan kuat’ yang dapat merealisasikan tangkapan tersebut.
Tidak lama selepas ikan toman kasar itu dinaikkan, joran Haji Soffian pula melendut padu.
Kemudian, seekor ikan sebarau seberat lebih kurang 2kg dapat didaratkan.
Ternyata, umpan ikan nyenyuar amat digilai ikan-ikan pemangsa di sini.
Kekuatan toman pergunungan
Menurut Yusri, sebenarnya kerap kali ikan toman Sungai Keniam menyambar gewang yang dihulurkan pengilat.
Namun, ramai tewas kerana kekuatannya sangat padu, ditambah dasar lubuk yang banyak bangkar kayu berselirat.
Sebab yang lain pula adalah penggunaan set casting yang tidak sesuai.
Kebanyakan strike diperolehi dengan menggunakan set casting untuk ikan sebarau. Set itu gagal melawan tenaga ikan toman yang hidup di sungai pergunungan.
Oleh itu, jika anda berhajat memburu ikan toman di sungai ini, pastikan membawa set casting kelas berat (heavy) agar dapat menahan asakan ikan toman sebelum ia masuk ke dalam bangkar-bangkar kayu berselirat.














