SEREMBAN – Seorang wanita tempatan berusia 30-an ditahan polis selepas disyaki menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah kedai runcit di Mantin, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 3.28 petang pada 15 Julai lalu daripada ibu mangsa yang memaklumkan anaknya dipukul dan diugut oleh suspek.
Katanya, menurut siasatan, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika mangsa sedang membeli minuman di premis berkenaan.
“Suspek secara tiba-tiba menendang dan memijak mangsa di bahagian muka dan kaki serta mengeluarkan ugutan bunuh. Kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan disaksikan oleh seorang pelanggan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Malik berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada jam 10.58 malam hari yang sama dan turut merampas sehelai baju berhoodie kelabu serta sebuah alat mainan berbentuk senjata sebagai barang kes.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental. Suspek didakwa mengalami halusinasi dan mengesyaki mangsa mencuri barangan premis, walaupun tiada bukti mengesahkan dakwaan itu.
“Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan didapati mengalami bengkak pada hidung serta lebam di kaki,” katanya.-KOSMO! ONLINE