PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan menentang rasuah adalah mutlak dan menjadi asas penting dalam memulihkan integriti, melindungi kepentingan awam serta membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau berkata, perkara itu disuarakan ketika menyampaikan ucapan pada International Conference On Governance And Integrity 2025 di Putrajaya hari ini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited kepada pertumbuhan inklusif dan lestari yang berteraskan tadbir urus baik serta ekonomi dinamik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut Anwar, Malaysia juga menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033 melalui pelaksanaan Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS).
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia kini memegang jawatan Presiden Perhimpunan International Anti-Corruption Academy (IACA) buat pertama kali, sekali gus membuka ruang untuk negara memimpin usaha antirasuah di peringkat antarabangsa.
“Kita bertekad untuk memimpin dengan teladan dalam memperkukuh tadbir urus serta memperhebatkan gerakan antirasuah secara global,” jelasnya.
Dalam masa sama, Anwar mengakui usaha menentang rasuah bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila ia melibatkan golongan elit dan berkuasa.
“Namun ia tetap menjadi tanggungjawab bersama. Ia menuntut keberanian, kesatuan dan pendirian tegas demi keadilan dan masa depan negara,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE