JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang di Singapura maut selepas kereta Proton Inspira dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Skudai Pantai Lido, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ting Jia Junn, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya dari arah pusat bandar menuju ke Skudai.
“Setiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar batu pembahagi jalan sebelum terbabas melanggar tiang lampu jalan.
“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE