SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 10 September depan bagi sebutan kes pembelaan memasukkan representasi seorang anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, tahun lalu.
Perkara itu diputuskan dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nadia Othman.
Peguam Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, berkata pihaknya perlu meneliti semua dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.
Jelasnya, dokumen yang diserahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman itu antaranya meliputi laporan patologi, kimia dan forensik.
“Justeru, pihak pembelaan memerlukan tempoh bagi meneliti keseluruhan dokumen berkenaan.
“Kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada akan memasukkan representasi atau tidak pada 10 September nanti,” katanya ketika ditemui selepas prosiding itu yang turut disertai peguam Aida Jaafar.
Turut menghadiri prosiding itu, peguam Goh Chee Kian dan Mohd. Norazihan Adnan sebagai peguam pemerhati keluarga.
Pada 12 Jun lalu, Muhammad Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, yang mayatnya ditemui dalam ladang kelapa sawit di Ladang SKC Kledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE