DRESDEN, Jerman – Pelumba Movistar Yamaha, Fabio Quartararo semakin hilang sabar dengan pasukan itu selain memberi kata dua sama ada memperbaiki prestasi jentera ataupun kehilangan khidmatnya pada masa depan.
Amaran tersebut hadir selepas dia sekadar menamatkan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring malam kelmarin di tempat keempat meskipun hanya 10 pelumba yang berjaya melintasi garisan penamat.
Saingan sepanjang tiga hari itu dianggap sebagai ‘malapetaka’ buat Quartararo apabila dia dilihat sering melepaskan geram, termasuk menghentak jenteranya ketika sesi pemanas badan sebelum ini.
Dalam pada itu, kenyataan ketua pasukan, Paolo Pavesio yang hanya mahu menggunakan enjin V4 tahun depan menyebabkan Quartararo kecewa dan mula berkira-kira untuk beralih angin ke pasukan lain.
“Saya tidak tahu apa yang beliau fikir. Bagi saya, beliau tidak tahu banyak mengenai perkara-perkara teknikal tetapi Yamaha tahu apa perlu dilakukan jika mahu saya kekal di sini.
“Secara jujur, saya tidak kisah sama ada (diberikan) enjin V4 ataupun tidak kerana apa yang paling penting saya mahukan jentera kompetitif untuk bersaing pada saingan musim depan,” kata pelumba Perancis itu.
Pada masa sama, Quartararo tanpa berselindung mengakui hubungannya dengan pasukan kadang-kadang agak tegang memandangkan mereka gagal untuk memberikan pelarasan terbaik buat jenteranya. – AGENSI