BRACKLEY, England – Pelumba Mercedes, George Russell percaya dia perlu kekal bersama pasukan itu sekiranya mahu merealisasikan hasrat menjadi juara dunia pada saingan Formula Satu (F1) musim depan.
Kedudukannya ketika ini dikatakan berada dalam keadaan terancam apabila juara dunia empat kali dari Red Bull, Max Verstappen disebut-sebut akan menyertai skuad Silver Arrows itu.
Russell berkata, perubahan demi perubahan dilakukan terhadap peraturan jentera pada setiap tahun menyebabkan dia berdepan situasi misteri bagi mendapatkan pelarasan terbaik bagi menghasilkan prestasi maksimum.
“Setiap kali masuk ke tahun baharu akan ada banyak terjadi situasi yang sukar untuk dijelaskan. Kami seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku kepada jentera, termasuk enjin dan (penggunaan) bahan api.
“Bagi saya, kedua-dua belah pihak berpendapat peluang terbaik (saya) menjadi juara adalah terus kekal berada di sini. Saya juga merasakan saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam perlumbaan,” katanya.
Russell yang akan memasuki musim kelima bersama Mercedes tahun depan menjadikan pelumba McLaren, Lando Norris dan Ferrari, Charles Leclerc sebagai contoh terbaik untuk kekal bersama pasukan sedia ada.
“Cuba anda semua tengok Lando (Norris) dan Charles (Leclerc) yang sudah lama bersama pasukan masing-masing. Kami hanya perlu bermula semula dan cuba menampilkan aksi lebih konsisten,” ujar Russell. – AGENSI