MANCHESTER – Penyertaan Manchester City dalam kempen Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 yang berakhir semalam menyaksikan persediaan mereka menghadapi pramusim agak pelik berbanding musim-musim terdahulu.
The Citizens hanya mempunyai tempoh lebih kurang tiga minggu selepas tamat Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memulakan saingan CWC 2025 di Amerika Syarikat yang disifatkan sebagai kempen mengecewakan.
Kekalahan mengejut kepada Al-Hilal di pusingan 16 dua minggu lalu bermakna para pemain City menamatkan musim tanpa sebarang trofi dan kini perlu fokus kepada aksi pramusim dalam keadaan masih keletihan.
Skuad bimbingan Pep Guardiola dijadualkan menentang Palermo pada 10 Ogos nanti dan kini masih mencari satu lagi perlawanan persahabatan sebelum memulakan saingan musim baharu EPL tujuh hari kemudian.
Masalah utama dihadapi City ketika ini adalah mencari pemain tetap di posisi pertahanan kanan selepas Kyle Walker dijual kepada Burnley sebelum aksi pertama menentang Wolverhampton Wanderers pada 17 Ogos.
Biarpun memiliki ramai calon seperti Rico Lewis, Matheus Nunes, Abdukodir Khusanov dan Manuel Akanji tetapi Guardiola dikatakan tidak begitu gembira kerana mahukan pemain pertahanan kanan tulen.
Ini bermakna City akan terus bergerak aktif dalam pasaran perpindahan biarpun sudah membeli Rayan Ait-Nouri, Tijjani Reijnders, Rayan Cherki dan Marcus Bettinelli sebelum ini.
Beberapa nama dikaitkan seperti Tino Livramento (Newcastle United), Wesley (Flamengo) dan Denzel Dumfries (Inter Milan), namun dikatakan perlu menjual Nico Gonzalez terlebih dahulu. – AGENSI