PUTRAJAYA – Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia memulakan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman kira-kira pukul 2.30 petang ini dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini.
Tinjauan Kosmo! mendapati kumpulan berkenaan mula berkumpul berhampiran Istana Kehakiman sejak pukul 1.30 tengah hari tadi sambil membawa pelbagai plakad.
Ketika sedang berhimpun, ahli Badan Peguam Malaysia mula melaungkan ‘bebas kehakiman’ menggunakan pembesar sambil disambut oleh peserta perarakan.
Media melaporkan perarakan sejauh 2.6 kilometer itu dijangka berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada PMO.
Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman. – KOSMO! ONLINE