fbpx

Negara dijangka guna bas EV sepenuhnya menjelang 2037

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony pada Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu, turut hadir Presiden Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah (kanan), di Kompleks Rapid Bus Batu Caves. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menyasarkan penggunaan bas elektrik (EV) secara menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam menjelang tahun 2037.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu sejajar dengan pelan dekarbonisasi nasional dan komitmen negara terhadap teknologi hijau.

Beliau berkata, pelantikan kontraktor bagi penyediaan bas-bas EV tersebut sudah ditutup manakala lantikan vendor pula akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, antara syarat-syarat yang ditetapkan bagi bas-bas EV berkenaan ialah bas tersebut mesti dibuat di dalam negara iaitu secara Completely Knocked Down (CKD).

“Ia mengambil masa kurang lebih 12 bulan untuk bas-bas itu dihantar dan disiapkan. Jadi, bas-bas itu akan diperolehi secara berfasa mulai tahun depan.

“Walaupun dari segi teknologi ia dari negara lain, tetapi ia mesti dipasang dalam negara kita supaya kita dapat pemindahan teknologi dan ada manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu di Kompleks Rapid Bas Batu Caves, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, walaupun pihaknya sedang merancang peralihan ke bas elektrik, bas diesel amat diperlukan untuk menampung keperluan operasi sedia ada.

“Pembelian sebanyak 310 unit bas diesel oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) merupakan sebahagian inisiatif berterusan untuk menaik taraf dan memperkasa sistem pengangkutan awam negara.

“Ini merupakan pembelian terakhir bas diesel oleh Prasarana Malaysia Berhad sejajar dengan komitmen kerajaan untuk beralih kepada sistem pengangkutan awam yang lebih lestari, mesra alam, dan rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata, bas-bas diesel itu akan beroperasi secara berperingkat di laluan-laluan terpilih, terutamanya di kawasan berpenduduk padat
dengan permintaan tinggi, bagi memastikan rakyat mendapat akses yang lebih kerap, mesra pengguna dan diyakini.

“Bas-bas ini memenuhi piawaian pelepasan Euro 5, satu piawaian global yang ketat dalam kawalan pelepasan bahan pencemar, termasuk gas nitrogen oksida (NOx).

“Ini akan membantu meningkatkan kualiti udara, khususnya di kawasan bandar utama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua bas yang telah melepasi had usia 15 tahun akan ditamatkan operasi sepenuhnya, selaras dengan ketetapan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bas yang telah beroperasi lebih 15 tahun akan dinyahaktif dan tidak akan dikitar semula untuk sebarang kegunaan pengangkutan awam.

“Ini penting demi menjamin keselamatan penumpang dan kelestarian sistem,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI