NISA (depan, dua dari kanan) pada Program Eid Blessing: Raya Bersama Ain Maisarah yang melibatkan penyertaan anak-anak yatim pada tahun lalu.

Nisa hayati maksud nama ‘sebaik-baik wanita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kecil, Nur Khairunnisa Abdul Rahim, 25, sudah didedahkan kerja-kerja sebagai sukarelawan apabila melihat kedua-kedua ibu bapanya komited memberi sumbangan bakti dalam bidang khidmat sosial dan komuniti meskipun sibuk menggalas tugas di sektor kesihatan.

Meniti usia, Nur Khairunnisa atau lebih mesra disapa Nisa mengikuti jejak langkah ibu bapanya dan mula berjinak-jinak sebagai sukarelawan ketika di sekolah menengah memandangkan pada ketika itu dia perlu mengikuti pengajian subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

“Ketika di tingkatan empat, saya mengikuti program khidmat masyarakat di rumah anak yatim dan sejak itu minat sebagai sukarelawan semakin mekar sehingga saya tidak sabar untuk mengikuti aktiviti kesukarelawanan yang seterusnya.

“Minat sebagai sukarelawan itu saya teruskan sehingga ke diploma dan kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dengan Teknologi Maklumat (Kepujian) di Universiti Putra Malaysia (UPM),” kata pelajar tahun akhir itu.

Walaupun sibuk menggalas tugas sebagai pelajar di universiti, ia tidak menghalang Nisa untuk meneruskan minatnya dalam bidang kesukarelawanan dengan menyertai pelbagai aktiviti.

Anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini turut bertindak sebagai orang penting yang menggerakkan pelbagai program kesukarelawanan seperti Pengarah Program Eid Blessing: Raya Bersama Ain Maisarah; Pengarah Bengkel Sukarelawan Kebangsaan dan Pengarah Bakti Madani @ Jiwa Putra 2025.

NISA (dua dari kanan) bercita-cita mahu menjadi pekerja khidmat sosial pada masa hadapan.

Antara program yang disertainya seperti misi bantuan banjir, membersihkan sungai, menyantuni komuniti Orang Asli, aktiviti bersama pelajar sekolah rendah, sukarelawan di rumah orang tua dan anak yatim.

“Kerja sukarelawan sangat dekat di hati dan saya mahu menjadi manusia yang memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana maksud nama saya iaitu ‘sebaik-baik wanita’.

“Oleh itu, saya mahu serius dalam bidang ini, bukannya dilakukan pada masa lapang sahaja tetapi saya bercita-cita untuk menjadi pekerja khidmat sosial pada akan hadapan,” katanya yang pernah menggalas tugas sebagai Presiden Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM.

Mengulas mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar sukarelawan, Nisa memberitahu, Program Eid Blessing: Raya Bersama Ain Maisarah antara yang termanis untuk diingati.

“Saya merupakan salah seorang peminat penulis novel, Ain Maisarah dan suka membaca novel-novel yang ditulisnya sejak berusia sembilan tahun. Oleh itu, berpeluang mengadakan program amal bersamanya dengan anak-anak yatim cukup bermakna buat saya.

“Ain Maisarah juga merupakan insan penting yang membuatkan saya suka membaca buku sejak kecil sehingga menerima anugerah Tokoh Nilam ketika di bangku sekolah rendah,” ujarnya yang menjadikan membaca sebagai hobi sejak kecil.

NISA

Tambahnya, program amal bersama penulis novel itu melibatkan seramai 33 anak yatim yang salah satunya memberi fokus untuk menyemai minat membaca dan meraikan mereka pada sambutan hari raya.

Lebih manis lagi, Nisa dianugerahkan pingat perak bagi penganjuran Program Eid Blessing: Raya Bersama Ain Maisarah untuk kategori pembentangan poster terbaik oleh Kolokium Pembangunan Mahasiswa Peringkat Antarabangsa.

Bercerita mengenai minat membaca, anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, aktiviti tersebut menjadi terapi untuknya menenangkan fikiran, meredakan tekanan, lebih fokus dan meningkatkan keupayaan imaginasi.

“Sehubungan itu, besar impian saya untuk mempergiat kerja-kerja kesukarelawanan terutamanya melibatkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dalam memfokuskan aspek pendidikan seperti kepentingan membaca.

“Kita mengetahui bahawa membaca adalah jambatan ilmu dan ia juga memberi banyak manfaat, maka minat membaca perlu dipupuk sejak kecil dengan bantuan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan penjaga,” katanya yang juga merupakan pelajar cemerlang dan menerima anugerah dekan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN