WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengesahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mula mengenakan tarif sebanyak 30 peratus bermula 1 Ogos ini ke atas produk dari Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Trump menghantar surat berhubung tarif itu itu secara berasingan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum Pardo. Ia kemudian disiarkan di platform Truth Social.
“AS bersetuju untuk terus bekerjasama dengan EU walaupun mempunyai salah satu defisit perdagangan terbesar dengan anda,” tulis Trump dalam surat itu.
Beliau turut memberi amaran dalam surat tersebut berhubung kebarangkalian tindak balas daripada kedua-dua negara berkenaan susulan tarif itu.
“Jika anda memutuskan untuk membalasnya, maka, apa juga jumlah yang anda pilih untuk menaikkannya (tarif), ia akan ditambah kepada 30 peratus yang kami kenakan,” tulis Trump kepada von der Leyen dan Sheinbaum.
Sementara itu, von der Leyen memberikan komen balas terhadap tarif itu.
“Tarif 30 peratus ke atas eksport EU akan menjejaskan perniagaan, pengguna dan pesakit di kedua-dua belah Atlantik. Kami akan terus berusaha ke arah perjanjian menjelang 1 Ogos ini.
“Pada masa sama, kami bersedia untuk melindungi kepentingan EU berdasarkan tindak balas yang berkadar,” tulis beliau di platform X.
Pegawai Mexico pula menunjukkan nada positif susulan pengumuman itu.
“Mexico sudah pun berunding dengan AS untuk melindungi syarikat dan pekerjaan,” kata Setiausaha Ekonomi dan Kementerian Luar di platform X. – AGENSI