SEPANG – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dia pandu terbabas ke dalam parit di Jalan KLIA S8, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 4.38 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota serta sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat KLIA digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dipercayai terbabas ke dalam parit dengan kedalaman empat meter.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun tersepit di bahagian kaki di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya dikeluarkan oleh sebelum dihantar ke hospital menggunakan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS). – KOSMO! ONLINE