PETALING JAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dan Tentera Darat Australia (Australian Army) akan melaksanakan Eksesais Keris Strike 2025 di beberapa lokasi sekitar Perak bermula dari 17 hingga 30 Julai ini.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, pelaksanaan eksesais itu membabitkan kawasan sekitar Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar hingga ke Lenggong, Perak.
“Eksesais yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi bersama, memperkukuh hubungan ketenteraan dengan negara sahabat.
“Ia juga bagi meningkatkan tahap kesiagaan TDM dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai terutamanya penduduk sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar diminta berhati-hati dan tidak panik atau cemas sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing.
“Ini termasuk pergerakan kenderaan dan konvoi aset-aset tentera serta sebarang aktiviti ketenteraan yang berlangsung sepanjang tempoh eksesais dilaksanakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE