PADA usia 61 tahun, Mohamed Hussein Abdullah masih aktif menawan laluan bukit curam dan selekoh tajam menggunakan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).
Minat datuk kepada dua cucu itu terhadap sukan lasak bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah berputik sejak 1980-an.
Selain ATV, dia bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti permotoran termasuk perlumbaan go-kart dan rali.
Biarpun sudah berada di usia ‘senja’, namun lelaki yang mesra disapa Hussein itu tetap meneruskan minatnya terhadap ATV dan memicu adrenalin terutamanya di kawasan lasak.
“Sejak muda saya memang suka sukan yang memberikan cabaran kerana ingin mengetahui kemampuan diri ketika melakukan aktiviti lasak.
“Minat itu kekal sehingga sekarang kerana ATV memberikan cabaran adrenalin dan rasa bebas ketika merentasi alam semula jadi,” katanya kepada CitaRasa.
Antara lokasi yang sering menjadi pilihan Hussein melakukan aktiviti ATV adalah di Slim River, Perak; Kenaboi, Kerling, Selangor dan Janda Baik, Pahang. Semua trek tersebut terkenal dengan cabaran dan memerlukan kemahiran teknikal serta stamina tinggi.
Demi membuktikan minatnya terhadap aktiviti tersebut, Hussein turut memiliki ATV jenis Polaris 500cc untuk kegunaan peribadi.

Pada setiap hujung minggu atau cuti umum, Hussein sering mengisi masa lapang dengan meneroka laluan mencabar bersama rakan-rakannya.
Tidak dapat dinafikan, sukan ATV mempunyai risikonya tersendiri.
Hussein sendiri mengakui dia pernah mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk dan hidung.
Namun, ia tidak mematahkan semangat Hussein untuk terus melibatkan diri dalam sukan ATV.
Sebaliknya, dia menjadikan pengalaman lalu sebagai peringatan agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti itu.
“Laluan paling menarik adalah mendaki bukit curam, menuruni cerun dan melalui selekoh yang memerlukan fokus serta kawalan penuh.

“Apa yang penting adalah kesediaan mencabar diri, menjaga disiplin dan mengutamakan keselamatan.
“Sukan ini juga dapat membina keyakinan diri dan ketahanan mental.
“Apa-apa sukan lasak pasti ada risikonya. Sebab itu keselamatan perlu sentiasa diutamakan dengan memakai topi keledar, alat pelindung dan mengikut arahan yang diberikan.
“Paling penting, jangan ambil laluan di luar kemampuan,” katanya.
Bukan sekadar aktiviti kesukaan, malah Hussein sendiri mengusahakan pusat rekreasi yang menyediakan aktiviti ATV. Tempat yang dikenali sebagai Xtremo Adventure Park di Hulu Langat, Selangor itu diusahakan Hussien bersama rakannya, Datuk Zainalabidin Mohamed Husain.
Penglibatan mereka secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekopelancongan dan sukan ekstrem tempatan, khususnya di kawasan luar bandar yang kaya dengan alam semula jadi.
















