LIMA – Sebuah gunung berapi digelar paling kecil di dunia ditemui di sebuah kawasan pergunungan di selatan Peru, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Penemuan dibuat oleh penduduk tempatan di bandar Cusco.
Selain memiliki ketinggian cuma sekitar 60 sentimeter, gunung berapi itu menyerupai bentuk kon dan memuntahkan bahan misteri berwarna kelabu.
Pihak berkuasa segera mengepung kawasan tersebut dan memanggil pakar-pakar untuk melakukan kajian.
Ketua Institut Geofizik Peru (IGP), Hernando Tavera berkata, rekahan itu dikenal pasti sebagai gunung berapi lumpur.
“Ia merupakan struktur semula jadi apabila lumpur, air dan gas terlarut muncul dari paras tanah yang lebih rendah.
“Ia tidak mencetuskan magma atau sebarang aktiviti seismik,” kata Tavera.
Meskipun tidak berbahaya, Tavera memberi amaran gunung berapi itu boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar seperti pencemaran air dan tanaman berhampiran. – AGENSI