fbpx

MSN lulus 13 kejohanan antarabangsa lonjak persiapan ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad olahraga negara menerima lampu hijau untuk menyertai 13 kejohanan antarabangsa sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Kebenaran itu diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas permohonan dikemukakan Olahraga Malaysia (MA) diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang diadakan hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, atlet olahraga negara bakal menyertai kejohanan di beberapa negara seperti India, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

Katanya, pendedahan tersebut penting terutama memberikan pendedahan buat atlet yang terpilih dan seterusnya mewakili negara ke temasya dwitahunan tersebut.

“Tadi kita baru selesai mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) untuk persiapan atlet olahraga negara ke temasya Sukan SEA Thailand.

“Kita juga telah meluluskan 13 kejohanan luar negara untuk membolehkan atlet ini diberi pendedahan dari sekarang sampailah ke Sukan SEA nanti.

“Penyertaan kejohanan antarabangsa ini memberi ruang kepada atlet untuk mendapatkan saingan kompetitif di peringkat lebih tinggi dan kita harap ini dapat dimanfaatkan oleh atlet-atlet di bawah program untuk mereka mempertingkatkan prestasi atlet mereka.

“Kita juga difahamkan MA sedang berusaha membawa masuk atlet dari Afrika Selatan untuk menjalani latihan bersama sebagai sebahagian daripada persiapan ke Kejohanan Dunia,” katanya ketika di temui di MSN, Bukit Jalil hari ini.

Dalam masa sama, Jefri turut meletakkan harapan tinggi terhadap pencapaian atlet negara pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung hujung Ogos ini.

“Kejohanan itu penting kerana ia menjadi salah satu medan kelayakan ke Sukan SEA. Kita berharap lebih ramai atlet berjaya melayakkan diri dan membawa cabaran negara di Thailand nanti,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI