PONTIAN – Sebelum muncul durian klon yang diperkenalkan oleh pelbagai agensi penyelidikan di negara ini, masyarakat terlebih dahulu mengenali durian kampung dengan nama-nama tertentu.
Antaranya Durian D24 yang sebelum ini dikenali sebagai durian sultan, D99 (kop kecil), D123 (chanee), D145 (tuan mek hijau/Baserah), D197 (raja kunyit/musang king) dan sebagainya.
Bagi seorang peniaga durian tempatan Rohaizad Abdul Rashid, 46, selain menjual pelbagai jenis durian klon, dia juga menjual durian kampung dikenali sebagai durian Tok Temah yang berusia 100 tahun.
Katanya, durian Tok Temah mengambil sempena nama neneknya, Fatemah Abdullah yang meninggal dunia ketika dia berusia satu tahun dan nama tersebut kekal sehingga hari ini.
Rohaizad yang lebih dikenali sebagai Ijat Durian Kukup berkata, pokok durian Tok Temah kini tinggal sepokok di Serkat, namun masih mampu berbuah sebanyak 600 biji.
“Kalau musim durian ‘menjadi’, pokok durian ini mampu menghasilkan kira-kira 600 hingga 700 biji bagi satu-satu musim dengan berat antara 1 kilogram (kg) hingga 1.8kg sebiji,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pekan Permas di sini semalam.
Tambah Ijat, warna durian Tok Temah berwarna kekuningan, rasanya manis dan berlemak sehingga menjadi tarikan kepada pengemar durian yang datang ke gerainya.
“Harga durian ini hanya RM15 sekilogram seperti harga durian kampung dan durian kahwin yang dijual di bawah harga RM20 sekilogram. Ia tidak sama seperti durian klon yang lain,”
ujarnya.
Katanya, walaupun durian klon menjadi pilihan, durian Tok Temah masih dicari oleh pengemar raja buah apabila tiba musimnya pada setiap tahun termasuk dari luar Pontian.
“Sebagai peraih dan peniaga buah-buahan sepenuh masa, musim durian yang telah bermula tiga minggu lalu memberikan rezeki tambahan selain buah manggis, rambutan dan sebagainya,” jelasnya.
Selain durian Tok Temah, dia turut menjual pelbagai jenis durian lain seperti udang merah kukup, IOI, jarum hitam (black thorn), durian kampung dan durian kahwin dengan harga ‘mampu milik’.
Katanya, harga jualan durian tidak boleh terlalu tinggi kerana ketika ini ramai peniaga buah-buahan turut menawarkan harga murah sama ada gerai di tepi jalan atau di dusun durian masing-masing.















